1. Kod Etika ini bertujuan untuk menyediakan satu garis panduan bagi kaunselor dan juga menjadi asas dalam menyelesaikan isu etika yang timbul dan dianggap menyeleweng daripada piawaian perlakuan kaunselor. Kod Etika ini menggariskan piawaian perlakuan dalam menjalin perhubungan professional dengan klien, rakan-rakan kaunselor, majikan, individu dan profesion lain serta masyarakat keseluruhannya. Ia juga merangkumi etika perlakuan yang piawai mengenai tatalaku yang sesuai dengan kedudukan dan identiti sebagai seorang kaunselor.
2. Kod Etika berasaskan kepada nilai- nilai utama perkhidmatan kaunseling dan memberi penekanan terhadap penghargaaan kendiri, dignity dan keunikan individu termasuk hak- hak dan peluang- peluang mereka. Ia juga berasaskan kepada profesion kaunseling itu sendiri yang mengutamakan nilai- nilai murni.
3. Apabila menghadapi situasi yang memerlukan intervensi, kaunselor hendaklah menunaikan tanggungjawab etika dengan memberi pertimbangan berasaskan kepada kesemua prinsip yang terkandung dalam Kod Etika.
4. Kod Etika ini tidak menggariskan semua peraturan kaunselor dalam menghadapi keadaan yang begitu kompleks dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
5. Kod Etika iini tidak seharusnya digunakan sebagai instrument untuk menyekat peluang dan kebebasan kaunselor dalam mengamalkan khidmat kaunseling. Ia juga tidak harus digunakan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada kaunselor tanpa diberi hak perlindungan dan keadilan yang maksima.